Friday, September 4, 2015

Kuliah 13

Etika Islam dalam Sains dan Teknologi

Maksud etika
  • Ilmu berkenaan dasar-dasar akhlak/moral, prinsip moral atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang/kumpulan 
  • Etika adalah suatu cabang falsafah tentang pandangan dan persoalan dalam bidang moral; ia diungkap dalam bentuk moral seperti baik, buruk, jahat, suci, memalukan, bertanggungjawab dan sebagainya. 
  • Ia juga merupakan suatu penyelidikan falsafah tentang kewajipan manusia serta tentang yang baik dan yang buruk. Ringkasnya, etika adalah falsafah tentang amalan dan norma-norma hidup manusia.
Akhlak dalam Islam
  • Ilmu yang mengatur hubungan manusia dengan Allah, sesama manusia dan alam secara harmonis
  • Bertujuan mewujudkan satu keadaan yang sejahtera
  • Mempunyai hubungan langsung dengan akidah dan syariat
  • Pengutusan Rasulullah SAW adalah untuk menyempurnakan akhlak

Hubungan etika dan akhlak dalam Islam
  • Akhlak didasari ajaran Islam berteraskan al-Quran dan as-Sunnah
  • Akhlak dinilai dengan pembalasan dosa dan pahala
  • Nilai akhlak tidak boleh menerima perubahan walaupun masa dan tempat berubah
Asas etika Islam
  • Aqidah : kepercayaan, keimanan kepada Rukun Iman yang enam yang menghubungkan dengan Allah.
  • Syariah : peraturan, ketetapan hukum yang berlandaskan kepada Al Quran dan Al-Sunnah
  • Akhlak : panduan tingkahlaku baik antara manusia dengan Allah, manusia sesama manusia dan manusia dengan alam sekitarnya
Kepentingan etika dalam sains dan teknologi
  • Yakin bahawa rezeki datangnya daripada Allah SWT
  • Ikhlas Dan Niat Yang Baik
  • Bersifat Ihsan (kecekapan dan kecemerlangan)
  • Itqan (ketekunan dan kemahiran) dalam melakukan sesuatu
  • Bermusyawarah dan bermuafakat (perundingan dan bekerja secara berpasukan)
  • Mengekalkan keseimbangan, bersederhana dan konsistensi
  • Membangunkan teknologi yang memberi manfaat kepada alam dan manusia
  • Menjauhi mafsadah – kerosakan ke atas manusia dan alam sekitar


Sejarah Etika

Kegiatan sains telah dilakukan  oleh manusia semenjak dahulu lagi seperti yang terdapat dalam Tamadun Greek, Tamadun India, Tamadun China dan sebagainya.  Tamadun Islam telah belajar daripada tamadun silam seperti Tamadun Greek, Tamadun India, Tamadun Parsi dan Tamadun China, menambah dengan karya-karya mereka sendiri dan juga melakukan inovasi sehingga berjaya muncul sebagai peneraju sains selama 700 lamanya antara tahun 700 sehingga tahun 1400.   Tamadun Islam menjadi jambatan antara tamadun Barat dengan tamadun silam kerana Tamadun Islamlah yang telah memindahkan ilmu sains dari tamadun silam dan Tamadun Barat pula mempelajarinya dari Tamadun Islam.  Kemerosotan sains dalam Tamadun Islam disusuli  oleh kemunculan Tamadun Barat moden telah mengubah keadaan manusia sejagat di mana perubahan yang berlaku kepada tamadun kebendaan manusia selama 200 tahun semenjak revolusi industri hingga sekarang terlalu besar   Kegiatan sains dalam Tamadun Islam, seperti juga dalam kegiatan-kegiatan hidup yang lain, sentiasa dibimbing oleh peraturan-peraturan al-Quran dan Hadith Nabi Muhamad s.a.w.  

Seorang sarjana Muslim yang terkenal dalam bidang kimia, Muhamad Abu Zakaria al-Razi, bapa Kimia Arab,  dikatakan telah diperintahkan oleh khalifah untuk membuat racun arsenik, namun beliau telah menolaknya kerana arsenik boleh membunuh kehidupan.   Tindakan yang dilakukan oleh al-Razi menyerlahkan satu pendekatan berbeza antara dua pendekatan sains iaitu pendekatan di mana  usaha dilakukan dengan  sedar untuk menjadikan sains dan teknologi sebagai satu alat untuk kesejahteraan manusia  dengan mengambil kira nilai-nilai sosial dan keseimbangan ekologi. pendekatan kedua ialah pendekatan yang  menganggap sains sebagai bebas nilai namun ia akhirnya menyebabkan kemusnahan kepada sistem sosial, moral, psikologi, ekonomi dan alam sekitar manusia.  

Penolakan Barat terhadap agama dalam kegiatan sains disebabkan pengalaman mereka berhadapan dengan gereja pada Zaman Pertengahan dan juga Renaisans. Pada Zaman Pertengahan, ramai ahli sains telah dihukum dengan pelbagai hukuman bahkan ramai dihukum mati kerana mengeluarkan teori-teori sains yang bercanggah dengan dogma gereja. misalnya Guirdano Bruno dan beliau telah dihukum bakar hingga mati Campo dei Fiori   pada 17 Febuari 1600.  

Galileo Galili 
Galileo Galili (1564-1642) juga hampir-hampir menerima nasib yang sama. Beliau telah meletakkan asas bagi teori tentang jasad yang jatuh. Dengan menolak teori Aristotle, beliau telah menyebabkan kemarahan pengikut-pengikut Aristotle dan memaksa beliau mengosongkan kerusi pensyarah di University Pisa. Beliau telah memberi sumbangan besar kepada perkembangan sains, namun apa yang membimbangkan beliau ialah tentangan daripada Gereja terhadap teori beliau yang mengatakan bahawa bumi bukan pusat alam.  

Penghakiman Galileo 
Dakwaan bahawa bumi bukan pusat alam ini, atau tidak boleh bergerak tetapi ia bergerak dan dengan tindakan pusingan harian adalah satu yang pelik  Dakwaan bahawa matahari adalah pusat bumi dan tidak bergerak dari tempatnya adalah aneh dan menyeleweng dari ajaran Kitab Suci  Hukuman Kardinal 12 April 1633 

Dengan itu kami mengumumkan hukuman; kami mengistiharkan, penghakiman dan mengumumkan bahawa kamu, Galileo-telah menyeleweng, bahawa dengan mempercayai bahawa doktrin bahawa ia tidak bergerak dari timur ke barat dan bumi tidak bergerak, dan bukan pusat bumi. 

Perakuan Gereja Katolik 
Umpamanya, Konsul Vatican kedua (1960-1965) dengan jelas membuat kenyataan berikut ”Semenjak sekian lama konflik antara sains dan agama”, pihak berkuasa tertinggi Gereja Katolik mengisytiharkan ”Hari ini seperti yang belum pernah terjadi, syukur kepada Tuhan, wujud persamaan yang rapat antara sains dan agama yang benar di mana kedua-duanya adalah hamba kepada yang satu dan satu kebenaran.  

Perakuan Vatican 
Pada tahun 1984, satu suruhanjaya telah dilantik oleh Pope John Paul II untuk menyemak semula peristiwa-peristiwa yang menyebabkan berlakunya konflik antara sains dan agama, dan mengakui bahawa penguasa-penguasa Gereja telah membuat kesilapan menghukum Galileo.  

Penindasan pihak gereja terhadap ahli sains  menyebabkan  ahli sains  pada Zaman Enlightenment  dan Zaman Moden menolak hubungan  antara agama dengan sains. Terdapat keinginan di Barat untuk kembali menghayati etika sains berdasarkan kepada agama. Antara penggerak etika yang berdasarkan agama ialah Dr. Bruno Guirdidoni @Abdul Haq, seorang ahli fizik Perancis yang pernah menjadi pengarah Balai Cerap Paris  

Kini muncul pendekatan Intellegent Design dalam pendekatan sains khususnya di Amerika Syarikat. Intellegent Design adalah kesinambungan daripada pendekatan creation yang bertentangan dengan pendekatan evolusi  yang menjadi teras kepada sains moden. Intellegent Design dan Crationism  menekankan bahawa kejadian alam ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Bible sedangkan evolusi  pula menyatakan bahawa alam ini terjadi secara evolusi. Senario ini menggambarkan krisis dalam pendekatan sains masa kini, sekurang-kurangnya di Barat.  

Implikasi Pemisahan Sains Dari Agama
Dalam ajaran Islam, sains merupakan ilmu yang berkaitan dengan alam dan alam ini menurut Islam adalah ayat-ayat Allah s.w.t. yang dilihat (al-Manzuroh). Al-Quran pula adalah ayat Allah s.w.t.   yang dibaca (al-Maqru’ah). Allah s.w.t. memerintahkan manusia membaca kedua-duanya; yang dilihat (al-manzuroh) dan yang dibaca (al-Maqruah). Kedua-duanya datangnya daripada Allah s.w.t. dan oleh sebab itu  sekiranya kedua-duanya  dikaji, nescaya berlaku pertemuan antara keduanya.  

Surah Fusilat ayat 53  “ Kami akan tunjukkan ayat-ayat Kami pada ufuk-ufuk dan dalam diri mereka sendiri sehingga jelas kepada mereka bahawa Ia (al-Quran) adalah benar. Tidakkah cukup bagi kamu bahawa Tuhan kamu sebagai saksi kepada semuanya?”. Oleh sebab itu jelas bahawa dalam Islam sains tidak boleh dipisahkan dengan agama dan melakukannya secara sedar adalah satu kesalahan yang perlu diperbetulkan. Bahkan sehingga sekarang tidak ada satupun penemuan sains yang bertentangan dengan al-Quran. 

Manusia Dan Krisis Sejagat
Manusia kini sedang berhadapan dengan pelbagai masalah besar, antaranya adalah peperangan, perlumbaan senjata, keruntuhan akhlak, pelbagai penyakit kronik seperti AIDS, selsema burung dan sebagainya. Namun masalah yang paling besar yang dihadapi oleh manusia sejagat  ialah masalah kemusnahan alam di mana manusia itu sendiri hidup. Kemusnahan alam sekitar akan menjejaskan kehidupan manusia itu sendiri dan kerosakan tersebut adalah disebabkan oleh  perbuatan manusia sendiri.  

Kebocoran lapisan ozon, peningkatan suhu bumi, pencemaran air dan udara adalah hasil daripada amalan sains yang tidak beretika.  Manusia dengan penggunaan alat teknologi canggih mengeksploitasi semahunya sumber-sumber alam demi memenuhi keinginan kebendaan manusia, bukan untuk diagih-agihkan sesama manusia secara saksama antara manusia menerusi pemindahan teknologi dan sebagainya. Justeru, sains dan teknologi digunakan untuk memaksimakan eksploitasi sumber alam seperti yang menjadi matlamat kapitalisme  

Manusia menerusi falsafah etika hedonisme, liberalisme dan individualisme yang menjadi teras kepada modenisme sebenarnya bertentangan atau bercanggah dengan etika dan moral agama  Implikasinya kepada manusia moden masa kini juga amat jelas menjejaskan kehidupan sosial manusia seperti  kemerosotan bilangan penduduk, peningkatan jenayah berat dan kehilangan kepercayaan kepada orang lain di semua negara maju  

Persoalannya? Adakah manusia dapat menghalang kemusnahan tamadun manusia ini dengan hanya membuat peraturan-peraturan yang lebih ketat terhadap pencemaran alam sekitar, bahan buangan industri dan sisa nuklear?  Adakah mungkin manusia mengembalikan keadaan alam sekitar kepada keadaan asalnya hanya dengan membuat polisi-polisi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa?   Mengapa? Dalam konteks perdebatan tentang alam sekitar, pandangan Islam sebenarnya diabaikan. Nilai dan tradisi Islam  menyediakan jawapan yang berkesan dan komprehensif terhadap kerosakan dan kemusnahan alam sekitar yang yang berlaku masa kini.  

Etika Dalam Kegiatan Sains Islam 
Pada akhir abad ke 20, sarjana-sarjana Muslim, ahli sains dan ahli falsafah di seluruh dunia Islam berusaha untuk merumuskan falsafah sains Islam versi masa kini, termasuk etika dalam kegiatan sains Islam.  kelompok pertama mistik sufi yang berhujah bahawa ’tradisi’ dan ’suci’ seharusnya menjadi teras kepada pendekatan sains Islam.  Kelompok kedua pula berhujah bahawa isu sains dan Islam harus ditangani dalam kerangka konsep yang membina matlamat masyarakat Islam.  

Sepuluh konsep Islam dikenal pasti sebagai kerangka di mana inkuiri sains Islam harus dilaksanakan, empat berdiri sendiri dan tiga pasangan yang berlawanan iaitu: tawhid, khilafa, 'ibadah, 'ilm, halal  dan  haram, 'adl  dan  zulm, dan  istislah (kepentingan awam) dan menginstitusikan  satu sistem untuk pengetahuan yang berasaskan kepada kebertangungjawaban  dan tanggungjawab sosial.  

Etika Dalam Islam
Dalam konteks ajaran Islam, perkataan yang paling hampir kepada maksud etika ialah akhlak. Pengertian akhlak dianggap lebih kuat dan berkesan kerana ia bertunjangkan kepada keimanan kepada Allah s.w.t. berbanding dengan etika yang berasaskan kepada teori-teori ciptaan manusia. Akhlak Islam berasaskan kepada ajaran al-Quran dan ajaran  Hadith Nabi Muhammad s.a.w.  

Perbuatan dan kegiatan seorang individu Muslim  boleh diklasifikasikan kepada perbuatan wajib, sunat, harus, makruh atau haram. Sehubungan  itu, kegiatan seorang ahli sains Islam juga boleh diklasifikasikan sebagai wajib, sunat, harus, makruh atau haram. Apakah hukumnya membuat sesuatu alat atau bahan yang fungsinya hanya untuk membunuh sahaja seperti membuat racun arsenik atau membuat bom nuklear dan sebagainya, atau melakukan pemindahan organ, kloning, penyelidikan stem cell, pemetaan genome, penukaran jantina dan sebagainya yang kini menjadi isu besar?  

Garis Panduan Kegiatan Sains Islam
Semua aktiviti membangunkan alam yang dilakukan oleh orang Islam sewajarnya berlandaskan kepada asas-asas falsafah yang bertunjangkan ajaran Islam. Dalam kegiatan sains, seperti juga dalam kegiatan pembangunan yang lain seperti pembangunan ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya, perlu berlandaskan kepada lima asas iaitu Tawheed Uluhiyyah, Tawheed Rububiyyah, Khilafah, Tazkiah an-Nafs dan al-Falah. 

Tawheed Uluhiyyah
Tawheed Uluhiyyah bermaksud kepercayaan bahawa Tuhan itu Esa dan seluruh semesta alam ini adalah hak kepunyaanNya. Dalam hubungan ini, alam adalah ciptaan Allah s.w.t. dan kewujudannya bukan berlaku secara kebetulan.  Setiap yang diciptakanNya mempunyai tujuan dan matlamat.  

Tawheed Rububiyyah
Tawheed Rububiyyah ialah kepercayaan bahawa Tuhan sahajalah yang menentukan rezeki kepada manusia. Dan akan membimbing orang-orang yang beriman kepadaNya ke arah kejayaan. Dalam usaha pembangunan, manusia harus menyedari bahawa  mereka wajib berusaha dan  juga mereka perlu berserah (berdoa) kepada Tuhan untuk mencapai matlamat pembangunan. Sikap berserah semata-mata (kadariyyah) merupakan sifat yang tidak baik. Manakala sifat yang sebaliknya pula (Jabbariyyah) , iaitu percaya semata-mata kepada usaha manusia, dianggap tidak adil kepada Penciptanya. 

Khilafah
Manusia adalah khalifah  atau duta Allah di atas muka bumi ini. Manusia telah dianugerahkan oleh Tuhan dengan semua ciri-ciri kerohanian dan mental, dan juga sumber-sumber material, untuk membolehkan manusia melaksanakan tugas dengan berkesan. Dalam aspek tugasnya sebagai khalifah, manusia diberi kebebasan dan berupaya untuk berfikir dan memberi sebab, untuk memilih antara betul dan salah, adil dan tidak adil untuk merubah keadaan hidupnya, masyarakatnya dan juga perjalanan sejarah, sekiranya dia mahu.  

Manusia secara tabeiinya adalah bersifat baik dan mulia (al-Quran, 15:29,30:30 dan 95:4). Manusia mampu mengekalkan sifat-sifat ini dan bangkit untuk menghadapi cabaran yang ada sekiranya ia menerima pendidikan dan bimbingan yang betul serta diberi galakan. Oleh sebab manusia sifatnya adalah baik, manusia secara psikologinya akan gembira dan  puas selagi ia berada, atau menghampiri sifat dalamannya, dan akan berasa tidak gembira serta  kecewa apabila ia menyeleweng daripadanya  “Maka apabila Aku (Allah) telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya ruh (ciptaan) Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud” (Al-Hijr:29)

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (Ar Ruum: 30)

Tazkiyyah An-Nafs
Tazkiyyah an-nafs merujuk kepada pertumbuhan dan pembersihan jiwa manusia sebagai langkah awal yang penting sebelum manusia mampu melaksanakan  tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka sebagai khalifah. Manusia merupakan agen perubahan dan pembangunan. Maka amat sesuailah jika perubahan dan pembangunan yang muncul daripada usaha-usaha manusia adalah untuk kebaikan untuk orang lain, bukan semata-mata untuk kepentingan diri sendiri serta tidak mengandungi unsur-unsur akhlak dan moral. Tazkiyyah an-nafs melibatkan proses  penyucian dinamik  yang perlu dilakukan setiap orang Islam sekiranya ia mahu berada dalam keadaan Islam yang tetap. 

Al-Falah
Al-falah merupakan konsep kejayaan dalam Islam di mana kejayaan yang dicapai dalam kehidupan di dunia ini akan meyumbang kepada kejayaan di akhirat selagi kejayaan di dunia ini dicapai  menerusi usaha yang tidak bertentangan dengan peraturan Allah s.w.t. Maka dalam Islam tidak ada pertentangan antara kepentingan dunia dengan kepentingan akhirat.  

Kegiatan Sains Dan Falsafah Pembangunan Manusia
Wujud hubungan yang kuat antara kegiatan  sains dengan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat. Sehubungan itu, kegiatan sains dicorakkan oleh falsafah pembangunan yang diamalkan. Sekiranya falsafah pembangunan adalah berasaskan kepada falsafah yang menolak agama, maka kegiatan sains juga bersifat menolak agama. Oleh itu, kegiatan sains dalam Islam bergantung kepada asas falsafah pembangunan yang digariskan.  

Kesimpulan
Sains dalam konteks Islam merupakan suatu ibadah yang tidak boleh dipisahkan daripada agama. Pemisahan tersebut akan melahirkan suatu kepincangan yang besar terhadap kesejahteraan masyarakat dunia umumnya. Isu-isu yang terlibat  sewajarnya mengambil kira isu-isu etika secara menyeluruh. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206, 011-1070-4212, 011-1078-4731 (H)
04-988-2701 (P), 04-988-2597 (R)